|
Sajak
Seorang Kawan Yang Sudi |
DotSolo |
Cerita |
|
|
DI PASAR SANDAKAN . TAHUN 1985 "Mari
mari. Dua ringgit satu kilo. Dua
ringgit satu kilo." “Boss udang boss.
Lima ringgit satu kati. " “Ha! Ini dia! Ikan
kayu. Ikan kayu ikan batu. Beli dulu baru tahu. Yeee..aahh! Mari! Mari! Ikan
kayu proton saga. Satu lapan satu kilo". Begitulah
meriahnya keadaan di pasar ikan. Penjual ikan, udang, ketam tidak putus‑putus
berteriak‑teriak untuk menarik perhatian. Lepas seorang penjual
berhenti, penjual lain menyambung
pula dengan suara yang lebih kuat. Sebaik saja penjual itu berhenti yang lain
pula menyambung. Suara lebih lantang lagi. Begitulah
seterusnya hinggakan makin lama suasana menjadi semakin bising dengan suara
penjual ikan mengiklankan ikan mereka. Akhirnya suara yang berpekik‑pekik
itu tidak lagi tentu buah butirnya. "Pakcik,
bahai besar Pakcik. "Aku agak terperanjat juga. Seorang budak laki‑laki
bermuka comot menadah satu bekas plastik merah di hadapanku. Aku menjengok ke
dalam bekas merah itu hendak melihat apa yang hendak ditunjukkannya. Aku
tidak nampak apa‑apa pun di dalamnya. "Pakcik,
bahai besar pakcik," Budak comot itu mengulang lagi kata‑katanya
tadi. Nampaknya ia begitu beria‑ia benar memberitahu aku bahawa
bahainya besar. Mungkin kerana dia masih kecil, maka dianggapnya bekas
plastik yang dibawanya itu besar. "Ya, Bahai
kau besar," Aku menyokong pendapatnya agar dia tidak berkecil hati.
Harapanku biarlah dia segera berlalu dan tidak terus mengganggu perjalananku.
Harapan ku hampa. Budak comot itu terus
menadah bekas kosong itu di hadapan ku sambil mendongak memandang ku. Matanya
yang bulat besar itu menjadikan mukanya kelihatan lucu. Apatah lagi mata itu
lebih banyak putih dari hitamnya. Aku merenung jauh ke dalam matanya. Dua pasang mata
kini bertemu. Aku mengharapkan satu sinar jernih terpancar dari mata bulat
itu. Tapi sekali lagi harapan ku hampa. Sebaliknya timbul satu pertanyaan
dalam benakku. Apakah kanak‑kanak sebaya ini sudah melakukan sebegitu
banyak dosa hinggakan tidak ada lagi sinar kesucian terpancar dari dalam
matanya? Setahu aku, kanak‑kanak yang masih belum mencapai akal baligh,
yang belum mengerti akan dosa pahala, mempunyai anak mata yang jernih dan
bersinar. SubhanAllah. Aku mengatur langkah meninggalkan budak
comot itu tercengang sendirian. Aku
menyusup penuh hati‑hati di celah‑celah orang ramai. Lantai simen
dalam pasar itu basah dengan air lumpur. Perjalanan ku tergendala tiba‑tiba.
Dua orang budak penjual bahai di hadapanku berjalan lambat‑lambat.
Lebih kurang sepuluh langkah di hadapanku seorang gadis manis berbaju kurung
biru nampaknya begitu berhati‑hati melangkah. Dia
teliti sekali memilih tempat yang sesuai untuk meletakkan kakinya. Aku merenung jari‑jari
halusnya menggenggam kain sarong yang dipakainya sambil berusaha menghalang
kain itu daripada mencecah simen. “Aduh! Cantiknya! " Entah bagaimana kata‑kata itu
terkeluar dari bibirku. Gadis berbaju kurung biru itu terhenti tiba‑tiba.
Mukanya terangkat ke atas. Mata kami bertemu. Lemah seluruh anggota ku.
Semangat ku terbang ke puncak Gunung Kinabalu. Seketika itu juga kami sama‑sama
tersenyum. Gadis berbaju kurung biru itu meneruskan langkahnya perlahan‑lahan.
Aku terus mengamati tiap lenggang lenggoknya. Jalannya menjadi kekok dan
tidak begitu teratur lagi. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Sambil dia
berselisih di sebelah ku, dia berpaling sambil melemparkan sebuah senyuman
yang disertakan dengan sebuah jelingan romantik. Aduh! Tersirap darah ku. "Siapa namamu? Di mana rumahmu?"
Pertanyaan itu bermain dalam kepala ku
yang kini sudah tidak menentu. Tiba‑tiba,"Pakcik
! Limpas!" Aku berpaling ke
belakang. Seorang kanak‑kanak membawa sebuah kotak besar meminta aku
memberi jalan. Nampaknya kotak itu sangat membebankannya. Aku mengelak ke
tepi memberi jalan padanya. Dalam hati aku menyyumpah, " Panggillah aku
abang! " Aku meneruskan
perjalanan ku. Aku masuk ke bahagian orang menjual sayur‑sayuran. Di
sini keadaan lebih selesa dari pasar ikan. Lantai simennya kering. Sebaik
saja aku masuk ke ruang itu, kakak yang menjual kelapa dan bahan‑bahan
dapur lain di sebelah kiriku berdiri sambil mengikut langkah ku dengan
matanya. Aku melemparkan senyuman biasa kepadanya smabil menganggukkan
kepala. Biasanya aku singgah di situ
membeli kalapa parut atau bawang. Tapi kini aku tidak singgah di gerainya
kerana aku tidak berminat membeli apa‑apa dari situ. Aku berjalan
terus. Seorang gadis penjual sayur yang masih jauh di hadapan sana memberikan
perhatiannya pada ku. Bibirnya menyukir senyum. Aku membalas senyumannya itu
dengan mengenyitkan mata kiriku.
"Cikgu,
Kobis." Gadis penjual sayur itu mempelawa aku membeli kobis jualannya
bila aku hampir dengannya. "Ya".
Aku menjawab sepatah. "Kacang?"
Dia menambah lagi. "Ya."
Aku memberi jawapan yang sama. "Terong,
sawi, tomato." "Ya. Aku tahu. Itu kobis, itu kacang, yang ini sawi, yang dalam plastik itu tomato". Aku membalas sambil menunjukkan sayur‑sayuran yang berkenaan. "Beli ya! " Sahutnya separuh
menjerit. "Aku tak pandai mamasak ba." "Adik cikgu ada. Dia boleh
masak." Gadis itu cuba memujuk aku membeli sayurnya. "Adik ku tak ada. Dia pergi K.K."
Aku cuba mengelak. "Cikgu. Telur. " Tiba‑tiba
adik kecil yang membantu ibunya bersuara. Aku berpaling kepadanya. "Ya. Satu bungkus." Aku meminta
sambil mengeluarkan wang dari sakuku. “Ada berapa biji
telur dalam plastik ini ? “ Aku
sengaja bertanya adik kecil itu. Adik kecil itu tersenyum
menampakkan giginya yang tersusun rapi. “ Ada sepuluh “ Katanya sambil
mengikat bungkusan plastik itu dengan rapi. “Tahu tak berapa
yang akan tinggal bila sampai di rumah nanti ? “ Aku mengajukan pertanyaan
kepada adik kecil itu. “Tentulah lah
sepuluh juga. “ Katanya separuh menjerit. Ibu nya kelihatan tersenyum
memandang ku. “Salah. Bila saya
sampai di rumah nanti , telur ini akan tinggal sembilan sahaja. “ Kata ku
sambil memandang jauh ke dalam matanya yang comel itu. Dia menyerahkan
bungkusan telur itu kepadaku dan aku membayar harganya. Sementara itu mukanya
kelihatan tercengang dan hairan. "Kenapa
cikgu?" "Pecah!".
Aku menjawab sambil merenung matanya. Adik berkulit hitam manis itu ketawa,
jelas menampakkan lesung pipitnya. Aku teringat lesung pipit adikku."
Ah! Lesung pipit adikku lebih cantik. " Bisik hati kecilku. “Hish ! Cikgu ni.
Masakan boleh pecah jika cikgu yang membawanya. Orang lelaki kan pandai
membawa telur. “ Gadis penjual sayur mencelah sambil tersenyum penuh makna. Mulanya aku ingin
bertanya apa bezanya lelaki dan perempuan mambawa telur. Melihatkan gelagat
ibu adik kecil yang menjual telur seolah-olah ada sesuatu disebalik komen
gadis sayur itu, aku terdiam. "Cikgu,
ambillah kobis cikgu." Gadis penjual sayur di sebalah terus juga memujuk
ku membeli sayurnya. Kobis yang sudah dimasukkan dalam bekas plastik itu
diunjukkan kepada ku. Aku ambil juga kobis itu untuk tidak menghampakan
harapannya. Kobis dan telur yang telah aku beli itu ku masukkan ke dalam
bekas plastik besar yang telah sedia menungguku di sebelah. Budak penjual
bahai di sebelah ku terkebil‑kebil matanya menunggu aku menjelaskan
harga bahainya. Dia seperti tidak sabar menunggu. Aku menyerahkan wang
syiling dua puluh sen kepadanya, mengambil bekas plastik yang sudah berisi
dari tangannya dan terus berlalu dari situ.
Dalam perjalanan ke setesen bas, baru aku dapat fikirkan apa maksud
komen gadis tadi yang mengatakan orang lelaki pandai membawa telur. Aku jadi
seperti orang sewel tersenyum sendirian mengenangkan maksudnya. “Nakal juga gadis
ini ya. “ |
|||