Video Puisi

Seorang Kawan Yang Sudi

Seruling Nelayan Solo

Pengalaman yang menggetarkan

Meniti Kehidupan

Nikmat keinsanan

Sekeping potret lama

Suatu Hari nanti

Mengapa aku tidak dapat melupakan

Andainya Kita Tidak Lagi Berpaling 2

Keinginan Ku

Lakaran kehidupan

Kenduri Arwah

Cerpen ini disiarkan di Mingguan Malaysia pada 11 Mac 1979. Penulisnya menggunakan nama pena Bardot Hadi.


Wajahnya tidak menampakkan kesedihan. Memang kena dengan orangnya yang dikenali dengan mempunyai hati batu itu. Adik-adiknya yang lain masing-masing bermurung. Tapi wajahnya selamba saja, seolah-olah tidak ada peristiwa sedih yang menimpa keluarganya itu.

Dia sedar tidak ada apa yang harus disedihkan. Apa yang telah terjadi adalah takdir. Takdir yang telah menentukan bapanya akan pergi. Pergi menemui Tuhan.

Dia yakin dengan hakikat dan kenyataan. Dia tahu tidak ada benda hidup yang dapat lari dari mati. Lintah di bendang yang liat itu pun mesti mati.

Tuhan telah menetapkan bapanya mati malam semalam. Tiada siapa yang dapat menahannya, walau doktor pakar sekali pun. Jadi tidak ada sebab dia mengapa dia harus bersedih. Kalau dia bersedih juga bererti dia tidak bersyukur kepada Tuhan. Kalau dia bersedih juga bererti dia memarahi Tuhan kerana mematikan bapanya.

Begitulah fikiran anak muda yang sedang duduk termenung di atas pelenggar di bawah rumah aruah bapanya itu. Matanya liar memandang di sekitar halaman rumah itu setakat yang dapat dipandangnya tanpa memusingkan badan atau kepalanya. Orang-orang yang datang menziarahi bapa nya rama yang telah pulang selepas mayat dikebumikan tengah hari tadi. Cuma tinggal beberapa orang saja lagi sedang berbual dengan abang Megat nya di atas rumah.

Di halaman rumah itu terdapat kotak-kotak rokok kosong berselerak di sana sini. Beberapa buah piring dan cawan yang hanya tinggal tahi kopi di dalamnya tersadai ditepi tepi tiang di bawah rumah itu.

Sekolah? Hm bagaimana dengan sekolah aku? Apakah aku harus berhenti? Oh! Tidak! Tidak! Pelajaranlah yang akan menentukan nasib aku dimasa depan.

Angan-angan Aku tidak mahu tercicir kerana bapa mati. Kalau aku berhenti apa aku nak jadi? Nak suruh aku usahakan bendang yang bapa tinggal ? Aku tak mahu.

Aruah bapa sendiri tak mahu aku hidup dengan bekerja sawah. Sebab itu dia menghabiskan beribu-ribu ringgit untuk pelajaran aku dan pelajaran adik-adik aku.

Aruah bapa sendiri pernah berkata, �Buat bendang ni kalau setakat nak hidup tu boleh, tapi kalau nak senang, nak mewah, sampai mati pun tinggal angan-angan. �

Tak heran kalau bapa berani berkata begitu. Bendang tiga relung. Sekali padi paling banyak untung bersih sembilang ratus ringgit.

Itu pun kalau padi tak diserang penyakit. Sembilan ratus ringgit itu pula untuk belanja enam bulan. Kalau sebulan baru seratus lima puluh ringgit. Mana nak cukup makan kalau tak ada kerja sampingan.

Itu pun kalau tak kemarau. Kalau kemarau, tak lamalah elektrik nak kena potong, paip air kena potong.Silap silap hasil tanah pun tak terbayar. Tanah pula kena rampas.

Alamat papa kedana lah aku adik beradik.

Nak hidup sekarang ni pun bukan main susah lagi. Belanja dapur, belanja sekolah. Siapa nak menanggung belanja sekolah aku dan adik-adik aku sekarang.

Bagaimana pula dengan perbelanjaan harian kami ? Kini sudah menjadi tanggungjawab aku. Tapi bagaimana? Bagaimana aku nak mengurus hal keluarga tanpa bapa? Kalau aku yang nak menguruskan semuanya tentu susah.

Dia mengeluh panjang. Kepalanya sudah tidak kuasa lagi nak memikirkan perkara-perkara yang berat seperti itu. Dia terus duduk mencangkung di situ, memandang benda-benda di sekitarnya dengan pandangan kosong.

Seekor lalat yang sedang terbang hinggap di hujung kakinya.

Orang-orang yang berbual di atas rumah tadi sudah mula pulang. Seorang demi seorang turun ikut tngga, memilih-milih kasut, kemudian berpaling pada pemuda yang duduk mencangkung di bawah rumah itu.

�Bang Ya balik dulu, Pak Teh balik dulu, Pak Ngah balik dulu.� Demikianlah teguran- teguran orang-orang yang turun itu. Pemuda yang mencangkung itu hanya tersenyum sedikit dan mengangguk-ngangguk kepalanya.

Agaknya mulutnya sudah berat nak bercakap. Di lihatnya orang-orang berjalan pergi itu hingga hilang dari pandangannya.. Kemudian dia nampak abang Megant nya turun dan berjalan duduk di sebelahnya.

� Adi, besok pagi, kau kaut padi dalam jelapang tu tiga guni bawa pergi jual di kedai Hai San tu. �

Pemuda yang dipanggil Adi itu diam sejenak. Terbayang dalam fikirannya padi yang ada dalam jelapang peninggalan aruah bapanya itu. Masih teringat lagi dia bagaimana dia dan aruah bapanya bertungkus lumus memukul, menarik dan menjemur padi itu hingga dapat disimpan.

Bantah
Jelapang itu di isi hingga penuh Baru dua guni padi itu di mesin buat beras. Tapi susutnya sudah hampir sepuluh guni. Padi yang banyak susut itu dijual buat beli baja, bayar upah traktor untuk tanam kali kedua, belanja sekolah dia an adik adiknya.

Tapi padi itu dah tak banyak tinggal. Padi yang tinggal itulah akan menyambung nafas mereka satu keluarga sehingga anak padi yang di sawah itu mengeluarkan hasil. Sekarang nak dijual lagi.

Padi yang memang dah tak cukup untuk dimakan itu akan bertambah tak cukup. Dia dah dapat mengagak mengapa abangnya suruh dia jual padi itu.

Dia yakin benar dengan ramalannya itu. Tapi dia tidak suka padi itu dijual lagi. Lalu dia berpura-puratanya, � buat apa nak dijual padi tu? �

�Bapa kan baru meninggal, kita kenalah buat kenmduri sikit. �

�Eh,eh abang, kan kah kita ni sedang berkabung, semua orang sedang bersusah hati kerana bapa mati, buat apa nak ditambah susah hati tu dengan dengan memikirkan soal buat kenduri.�

�Itulah yang aku suruh kau jual padi dalam jelapang tu. Bila padi tu sudah dijual, adalah duit, selesailah masalah.� Megat menjawab dengan bersahaja. Tak terfikir olehnya yang adiknya akan membantah.

�Memanglah masalah perbelanjaan kenduri tak ada, tapi masalah lain yang lebih perlu kita fikirkan. Kalau padi tu dah habis apa yang kita nak makan? Makan pasir ? Pasir pun susah nak dapat di kampung kita ni . �

Terperanjat Megat mendengar jawapan adiknya yang agak kasar itu. Tapi dia bertenang. � Eh, Adi, dengan hanya menjual tiga guni, takkan lah padi tu boleh habis?�

� Memanglah tak boleh habis sekarang. Tapi sebulan lagi licinlah jelapang tu. Bila dah licin, kebuluranlah kita. �

Adi memang sudah belajar berfikir jauh-jauh sekarang. Pengalamannya semasa bapanya sakit membuatkan dia sentiasa mengingati masa depan.

�Eh Adi, ulat dalam batu lagi ada rezekinya. Ini kan pula kita di atas bumi. Ulat dalam batu tu susah nak bergerak. Kita atas bumi ni boleh bergerak kesana sini untuk mencari rezeki. Kita iktiarlah. Tuhan tak membiarkan hambaNya kebuluran. �

�Itu ulat dalam batu. Ulat dalam batu memang ada rezekinya kerana dia makan batu. Kita atas bumi ni bukan boleh hidup dengan makan bumi.�

�Adi yang kau tahan aku nak buat kendurini kenapa?�

Kalau abang ada duit sendiri, abang buat lah. Tapi padi dalam jelapang tu jangan abang sentuh walau sebiji pun.�

� Kalau tak ambil padi alam jelapang tu nak jamu orang makan apa? �

�Kalau begitu jangan buat kenduri. Lagi pun kenduri tu bukan penting sangat.�

�Tak penting kata kau. Eh Adi, kenduri aruah tu dituntut oleh masyarakat dan diharuskan oleh agama kita kau tau ?

Tak dapat tidak kita mesti ikhtiar melakukannya. Apa salahnya kita menghabiskan harta orang tua untuk kebaikkannya. Untuk memberi ganjaran padanya. Kalau kita tak buat apa pula kata orang-orang kampung ni pada kita.

Terpaksa
Orang kata kita anak yang tak mengenang budi. Tak mengenang jasa orang tua. Orng kata kita ni kedekut, tangkai jering. Mahu kau orang cap kita begitu? � �Biar orang kata apa yang mereka nak kata. Susah payah kita bukan ada siapa yang nak tolong. Kita tak makan sebulan ke, saya tak ada duit yuran periksa ke, bukan ada siapa yang ambil peduli.

Kalau ada ahli keluarga kita sakit demam atau mati barulah mereka datang tolong. Bukan nya mereka tolong supaya kita bertambah senang, mereka tolong supaya kita bertambah susah lagi.

Terpaksa kita menghidang makan minum mereka. Kalau kopi pahit sikit, nasi mentah sikit, lauk tak sedap, mereka balik mengumpat. Mana yang baik bukan mereka nak puji. Bukan nak sanjung . Mereka diamkan saja. Mana yang tak baik itu lah mereka heboh kan.

Jadi apa kita nak pedulikan dengan apa orang lain kata. Biar mereka kata. Kita tak rugi satu sen pun. Mereka pula menambah dosa tak tentu pasal.�

�Siapa yang suruh kita menyediakan makan minum untuk mereka. Tak ada siapa yang suruh. Tapi kita ni hidup dalam masyarakat. Dalam masyarakat kitra ni bukan kah sudah menjadi adat kita meraikan tetamu?

Banyak lagi adat adat lain yang harus kita ikut dalam masyarakat kita ni. Kita tak boleh lari dari adat. Kalau kita cuba lari dari adat, bererti kita cuba lari dari masyarakat. Kalau kita dah lari dari masyarakat, kita akan jadi kera sumbang, dipulau dari masyarakat.

�Itu saya tahu kita hidup dalam masyarakat . Saya tahu masyarakat kita mempunyai adat yang harus kita ikut. Tapi adat yang harus kita ikut adat yang bagaimana?

Kalau adat itu hanya menyusahkan kita buat apa kita ikut. Lagi baik kita bunuh saja adat itu.� Serangan Adi bertambah hebat. �Adi, bukankah pepatah kita ada mengatakan biar mati anak jangan mati adat. Kalau kita tak mengamalkan adat dan kebundayaan kita sendiri, siapa lagi?

Bukankah adat dan kebudayaan itu merupakan tanda wujudnya bangsa kita. Kalau kita mengabaikannya, akan hilanglah keperibadian bangsa kita. Lagi pun bukankah agama kita juga menggalakkan kita berkenduri arwah, baca Qulhu beramai-ramai. Untuk dihadiahkan kepada orang yang mati.�

�Agama kita menggalakkan kita buat kenduri arwah memang saya akui. Taspi dalam keadaan yang bagaimana? Bukannya dalam masa kita susah begini.

Kalau nak buat juga, bila kita senang, duit lebih banyak, kita buat lah. Tuhan terima juga. Lagi pun kalau setakat nak hadiah Qulhu untuk bapa tak buat kenduri pun boleh hadiah.

Bangun pagi-pagi, baca sekali, nak makan tengah hari baca sekali, nak makan malam baca sekali, nak tidur baca sekali, cukup satu hari lima kali. Kalau sebulan seribu lima ratus.

Satu tahun, abang kiralah sendiri. Itu kalau saya seorang yang baca. Kalau tiap tiap orang adik beradik kita buat, tentu berkali kali ganda banyaknya. �

�Kalau kita baca sendiri, kurang kebaikannya, baca beramai-ramai lebih hikmatnya.�

�Kalau begitu kita panggil orang-orang kampung datang ke rumah kita suruhn baca. Kemudian kita hidang air sejuk. Jadi taklah perlu kita menghabiskan padi dalam jelapang tu.�

�Kalau kita hanya hidang air sejuk saja siapa yang nak datang? Aku fikir jangankan Lebai Ketayap, Haji Sarban tu pun tak akan datang. Siapa yang nak baca doa.�

�Kalau begitu mereka yang datang tu bukannya nak baca doa atau hadiah Qulhu, tapi nak makan. Itu tidak iklas, tak guna kita jemput mereka datang baca doa dan Qulhu beramai-ramai, buat bising saja. Nak tidur pun susah. Lagi pun kalau mereka betul betul ikhlas nak hadiah Qulhu pada bapa kita, mereka tak payah tunggu kita buat kenduri. Dirumah mereka pun mereka boleh baca. Sambil berjalan ke bendang pun boleh baca. Tuhan terima juga. Bahkan cara itu lebih baik lagi kerana mereka tak menyusahkan kita.�

�Adi kau jangan cakap begitu. Nanti didengar dek orang apa pula kata mereka. Lagi pun yang kau berkeras sangat tak mahu buat kenduri ni apa pasal?�

Megat dah mula naik darah. Perasaannya sudah tak dapat dikawal lagi.

Sedar
�Saya tak kata saya tak mahu buat kenduri. Saya Cuma tak mahu abang jual padi dalam jelapang tu. Itu saja. Yang abang sibuk-sibuk nasihat saya suruh saya buat kenduri ni apa pasal? Selama ni saya tak sembahyang, tak pernah pun abang nasihat saya suruh sembahyang. Pada hal sembahyang itu lebih perlu dari kenduri. �

Tergamam Megat mendengar kata kata adiknya itu. Dia tak sangka sampai ke situ sekali fikiran adiknya. Dia yang nak marah tadi sudah tak jadi nak berkeras.

Sebaliknya dia rasa malu pada dirinya sendiri. Selama ini jangankan dia nak nasihat orang lain sembahyang, dia sendiri hanya sembahyang seminggu sekali, sembahyang jumaat.

�Adi, kalau kau tak mahu jual padi tu tak apalah. Jangan banyak cakap lagi. Biar aku sendiri yang jual. Kau duduk diam diam . Jangan masuk campur urusan aku.�

Adi tiba-tiba bangun dari duduknya. Dia berdiri tegak sambil bercekak pinggang di hadapan abangnya. �Abang! Saya beri amaran pada abang. Abang jangan nak pandai pandai ganggu padi dalam jelapang tu.

Padi dalam jelapang tu bukannya abang yang usahakan. Saya denagn aruah bapa yang bersusah payah sehingga padi tu boleh ada di situ.

Apa ingat senang kerja bendang? Saya dengan aruah bapa bermandi peluh sampai daging ni masak , abang asyik merayap ke rumah tangga orang. Dah puas jual temberang abang balik nak makan.

Sehinggakan pelajaran saya kucar kacir jadinya. Abang tahu berapa banyak duit basiswa saya habis semasa bapa sakit? Habis duit biasiswa saya abang tau?

Itu tidak termasuk hasil yang saya dapat dari mengambl upah di sana sini dan kerja malam dikilang kasut tu. Itu semua saya habiskan untuk beri makan abang, adik-adik dan anak-anak abang yang empat orang tu. Kalau saya tak sabar, dah lama saya kawin beri makan anak bini saya sendiri. �

Megat terperanjat besar. Tiba-tiba saja dia rasa dirinya kecil. Malunya bukan kepalang lagi. Semangatnya untuk terus bertegang leher dengan adiknya itu hilang terus. Tak sanggup lagi dia berhadapan dengan adiknya.

Dia sedar sekarang, selama ini dia tidak ambil peduli sangat hal-hal rumah tangga. Fikirnya bila dia sudah bercerai dengan isterinya, dia terlepas dari tanggungjawab rumah tangga.


DotSolo- Physics Teacher

Seorang Anak Kampung

Jodoh Bujang Solo

Matinya sekeping hati

Bertemu Kekasih

DI Pasar Sandakan 1985

Di Ganggu Kenangan

Rawatan Perasaan

Video Nyanyian

Mahligai Impian